fbpx

Belajar Berniaga

Kalau ditanya kenapa saya hendak sangat berniaga, semuanya bermula ketika saya masih kecil, seingat saya ketika saya di darjah empat.

Abah saya seorang guru dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan dan bila ditolak bersih bakinya kira-kira RM800.

Emak saya pula tak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa menjaga kami enam beradik.

Tetapi abah saya dia sentiasa letakkan pendidikan di tempat nombor satu.

Jadi untuk memastikan kami semua dapat bersekolah, ayah melakukan dua pekerjaan, siang sebagai guru dan malamnya dia akan menjadi peniaga barangan dapur kering di pasar malam.

Dengan kereta Wagon Mazda 606 terpakai itulah ayah buat pergi kerja dan kerap rosak, sampai kadang-kadang ayah dan saya berjalan kaki ke sekolah.

Maklum sahajalah kalau dah berjalan kaki lalu estet-estet, tanah merah, kami mencabut kasut dan berkaki ayam meredah kebun getah, panjat kaki bukit demi mengelakkan kasut kotor.

Kalau nak cerita bab meniaga pula, saya memang selalu teman abah dan emak berniaga di pasar malam atau masuk ke estet-estet getah ketika hari gaji.

Kena hari baik, dapatlah kami sekitar RM80-RM100 di pasar malam, kena nasib tak baik dapatlah sekitar RM30-40, itu kalau hari hujan lagi sedih kalau ada jualan kami dapatlah RM20.

Saya ingat lagi bila abah ada keputusan duit waktu itu saya darjah empat, kerana perlukan wang berniaga ayah meminjam sana sini , sekali tu dia ambik buku cek dia tulis RM50, dan dia masuk keluar stesen minyak , pergi jumpa tauke kedai runcit nak tukar cek itu dengan duit …. Saya nampak dia malu tetapi demi perniagaan dia sanggup pinjam sana sini .

Dia jadikan cek itu sebagai cagaran kepada tauke tauke kedai yang boleh bantu, jika dia dia tak dapat bayar hutang pada tarikh dijanjikan, maka tauke itu boleh lah tebus cek berkenaan.

Dia jalan dari satu kedai ke kedai, tetapi tak semua berani nak beri pinjam duit pada ayah, pada waktu itu, saya terasa kesian sangat pada ayah, dia sanggup menebalkan muka untuk meminjam duit.

Walaupun dia seorang guru dan wang yang nak dipinjam pun cuma RM50.Saya rasa sedih bila terkenangkan ni …

Kerana pengalaman inilah saya cepat matang dan bersikap tak suka susahkan keluarga.

Kerana kesusahan keluarga saya menjadi anak yang tak reti meminta apa-apa hadiah dari ayah dan emak.

Saya faham kesusahan mereka dan membuatkan saya menjadi rajin belajar sebab saya fikir itu sahajalah saya tidak menyusahkan mereka dan boleh memberikan mereka kebahagiaan.

Ketika darjah lima, Alhamdulillah saya dapat 5A dalam penilaian sekolah dan waktu itulah pertama kali dalam hidup saya mendapat hadiah basikal dari ayah.

Basikal terpakai itu abah beli dengan harga RM70 dan saya memang happy sangat dan sangat sayang dengan basikal itu.

Saya ronda pelusuk kampung dan keluar ke pekan Kulim, Bukit Mertajam beramai-ramai dengan kawan-kawan setiap hujung minggu, keluar pagi petang nanti baru balik rumah.

Memang enjoy betul masa itu.

Alhamdullillah dunia kanak-kanak saya seronok walaupun ada susahnya.

Bila abah berniaga, selain dari pendapatan di pasar malam yang tak menentu, menjual barangan runcit ke estet-estet juga buat kami garu kepala.

Memang kami masuk ke sana pada hari gaji biasanya pada 1 dan 15 haribulan, kami hantar barang tetapi yang menjadi masalah ramai juga orang yang berhutang serta tidak membayar

Tetapi hikmahnya dari situ, saya mula belajar memahami situasi orang, pergaulan saya dengan pelanggan mematangkan saya tak kira umur dan bangsa, dunia perniagaan ini betul-betul mendewasakan saya.

Dari situ saya belajar berani mengambil risiko dalam perniagaan, dan bagaimana hendak selesaikan masalah dengan pantas.

sehinggalah saya meningkat dewasa, saya diterima masuk ke MRSM, dan dari situ, saya melangkah mengenal alam remaja dan menjadi ‘nakal’

Kisah Nakal ke tahap kisah abah tak tegur dan tak nak cakap dengan saya selama sebulan, huihhhh malu pula nak cerita, nak dengar ke?

Leave a Reply

Your email address will not be published.